Lelaki tak beralah, isteri masam muka balik raya. Tahun demi tahun isunya tidak pernah berubah. Kampung saya atau kampung awak? Bagi lelaki yang sudah berkahwin, setiap kali tibanya Aidilfitri, bersiap sedialah untuk beraksi dalam episod drama tahunan ini.
Menjelang minggu terakhir Ramadan, tidak dinafikan ada segelintir pasangan suami isteri tidak menegur sesama sendiri dan bermasam muka. Lucu bagaimana isu remeh seperti balik kampung boleh menjadi perang dingin umpama Russia-Amerika Syarikat (AS) lagaknya. Akibat gagal mencapai kata muafakat ditambah sifat ego, akhirnya masing-masing enggan bertegur sapa. Takkan tiap-tiap tahun kampung awak saja? Saya juga hendak jumpa mak dan ayah saya pada pagi raya! Begitulah rintihan suami jika saban tahun isteri mengajak pulang ke kampungnya menyambut Syawal. Isteri pula tidak mahu mengalah dengan alasan ibu bapa mertua menetap di Shah Alam dan mereka sering berkunjung ke rumah mertua bertemu kakak dan adik kesayangan. Dalam mencari kesepakatan, suami dan isteri masing-masing bertegas hendak menyambut fajar Syawal di rumah ibu bapa sendiri. Dek tidak mahu beralah, perselisihan faham timbul dan kurang manis, ia berlaku ketika umat Islam mahu meraikan kemenangan di bulan Syawal.
Biarpun isunya nampak remeh, tapi inilah yang sering mengeruhkan kemesraan dalam ikatan kekeluargaan terutama pada hari kebesaran Aidilfitri. Memang wujud, kisah suami atau isteri yang saban tahun terpaksa mengikut kehendak pasangan yang tanpa kompromi tetap mahu pulang beraya di kampung mereka. Ada suami mahu mengikut cakap isteri malah tidak pandai menolak permintaan isteri apabila mengajak pulang beraya di kampung. Namun tidak kurang ada juga lelaki menggunakan kuasa veto sebagai suami, meminta isteri akur dengan keputusan yang dibuat. Dalam senario begini, tidak hairanlah ada jejaka enggan berkahwin kerana bimbang berhadapan situasi seperti ini. Bagi mereka, hidup sendiri lebih bebas tanpa perlu terikat dengan sesiapa terutama dalam memutuskan bagaimana Aidilfitri mahu diraikan.
Selain itu, ada juga yang awal-awal lagi sudah menetapkan kriteria untuk bakal suami atau isteri. Individu ini mahu buah hati dari negeri sama atau sekurang-kurangnya bersempadan atau sehala perjalanannya. Lebih ekstrem, ada pula yang mencari pasangan yang sudah kematian ibu bapa supaya tidak perlu bergaduh dalam soal yang dianggap remeh ini. Benar, setiap individu ingin meraikan ketibaan Syawal bersama ibu dan bapa dikasihi. Namun bagi yang sudah berkahwin, situasi tentunya tidak sama dengan mereka yang masih bujang. Jika bujang, hanya ibu bapa dan keluarga sendiri saja yang harus difikirkan. Tetapi apabila sudah berkongsi hidup dengan pasangan, ibu bapa dan keluarga suami atau isteri mereka juga perlu difikirkan. Disebabkan itulah, ramai pasangan suami isteri mengambil pendekatan bertolak-ansur dengan melaksanakan sistem penggiliran dalam soal pulang beraya di kampung. . Jika tahun ini beraya bersama ibu bapa sendiri, raya tahun depan pula beraya di rumah mentua.
Walaupun ramai memilih sistem penggiliran, Pakar Motivasi, Dr Rubiah K Hamzah berkata, jika suami sudah memilih untuk pulang beraya di rumah ibu bapanya, isteri harus akur. “Ini kerana, bertemu ibu dan memohon keampunan darinya adalah wajib bagi seorang lelaki kerana menjaga ibu adalah tanggungjawab bagi dirinya dan ia pula sunat bagi wanita. Syurga seseorang lelaki terletak di kaki ibunya manakala bagi seseorang isteri, bergantung kepada suaminya. “Jadi, untuk yang bergelar isteri sebenarnya, waktu inilah mereka dapat menunjukkan ketaatan kepada suami dengan mengikut pilihan suami,” katanya kepada XY - Ikon Lelaki. Kata Dr Rubiah, jika suami membuat keputusan beraya di rumah ibu bapa isteri, barulah mereka boleh beraya di sana. Tambah beliau, seseorang wanita harus menerima hakikat bahawa bila mereka berkahwin dengan seseorang lelaki, mereka juga harus bersedia menerima tanggungjawab untuk menjaga hati mertua mereka. Ini lebih-lebih lagi jika suami adalah satu-satunya anak lelaki dalam keluarga. Tambah Dr Rubiah, kekuatan seseorang ibu itu terletak kepada anak lelakinya. “Apa yang kita sedia maklum, dalam konteks masyarakat kita, amalan penggiliran menjadi pilihan dalam menyelesaikan dilema yang berlaku ini.
“Walaupun begitu, harus diingat, semua ini masih merujuk kepada keputusan yang dibuat suami,” katanya. Dr Rubiah berkata, beliau merasakan tidak wajar jika isu balik kampung ini menjadi punca perbalahan antara suami dan isteri, apatah lagi selepas kita berjaya menyudahkan ibadat berpuasa. “Sangat tidak wajar. Selepas berjaya berpuasa, menyucikan diri daripada sifat yang tidak baik tapi bila di akhir-akhir bulan yang berkat ini, kita bergaduh sesama sendiri pula. “Syawal sepatutnya menjadi hari meraikan kehebatan melawan dugaan berpuasa selama sebulan dan menerapkan nilai yang baik dalam diri. Namun kehebatan itu sudah pasti tercela bila kita bergaduh disebabkan hal seperti beraya di kampung siapa,” ujar Dr Rubiah. Kata beliau lagi, kesepakatan dapat dicapai jika suami dan isteri memahami sesama sendiri serta berbincang sebelum keputusan diambil. “Berbincanglah dengan baik. Pelbagai cara boleh dilakukan, antaranya, selepas beraya di rumah ibu bapa sendiri sehari dua, baliklah pula ke rumah mertua anda. “Di hari raya ini, apa yang paling penting adalah mendapatkan kemaafan daripada kedua ibu bapa dan juga pasangan hidup anda,” kata Dr Rubiah. 10 Tip mencapai keputusan bersama suami isteri :
1.Sentiasa berdoa agar diberi petunjuk membuat sesuatu keputusan.
2.Kumpulkan semua fakta dan maklumat berkaitan bagi menyokong hujah anda,
3.Dapatkan pandangan individu lebih arif jika kesepakatan tidak diperoleh.
4.Jangan tertumpu kepada suatu pilihan saja. Pertimbangkan beberapa pilihan.
5.Bincang bersama mengenai pro dan kontra keputusan yang ingin diambil.
6.Pastikan keputusan adil bagi kedua-dua belah pihak.
7.Kedua-dua pihak harus bertanggungjawab dengan keputusan yang diambil.
8.Pastikan ada ruang untuk anda berdua menilai semula keputusan yang diambil.
9.Jika keputusan anda memberi kesan kepada ramai pihak, mungkin wajar mengumpul pandangan mereka.
10.Ketepikan ego sebaliknya berfikir secara logik dan berasas ketika berbincang.
Artikel ini dipetik dari Berita Harian Online sebagai panduan untuk aku sebagai isteri yang akan berhari raya di rumah mertua untuk pertama kalinya tahun ini....semoga aku lebih redha dan tabah....Amin.
No comments:
Post a Comment