KUALA LUMPUR: Permintaan tinggi terhadap makanan laut menyaksikan pelbagai pihak agresif menternak udang harimau, udang putih, siakap dan kerapu dalam sangkar.Malah harga tinggi di pasaran luar terutama China, Taiwan, Hong Kong dan Jepun, mendorong ramai penternak beralih angin dengan memperkenalkan pelbagai sistem terkini termasuk menternak dalam kolam plastik untuk memastikan hasilnya bersih dan berkualiti.Terbaru, ketam nipah atau ketam lumpur (Scylla serrata) kini mula mendapat tempat di hati pengguna atau pengusaha restoran. Peningkatan harga daripada RM15 kepada RM25 sekilogram di pasaran China, Singapura, Hong Kong dan Dubai.Sama Aqualculture Sdn Bhd yang beroperasi di Taiping, Perak turut menyahut permintaan itu dengan menternak ketam dalam kolam gentian kaca yang nyata menguntungkan.Pengarah Urusannya, Dzulkarnain Zainal, berkata ketam nipah cepat membesar dalam masa singkat berbanding penternakan keli, udang harimau, tilapia, ketutu mahupun siakap.“Dalam usia tujuh hari dengan saiz sebesar siling 20 sen, anak ketam membesar sehingga matang dalam tempoh dua bulan atau 80 hari dengan berat 500 hingga 600 gram seekor. Dalam tempoh itu, anak ketam diberi makanan ikan baja dan pallet sekali dalam sehari.“Dalam tempoh itu juga, disiplin pemberian makanan perlu dititikberatkan kerana ketam yang lapar boleh menyerang antara satu sama lain. “Pada masa sama, ketam yang bersalin kulit perlu diasing bagi mengelakkan ia dimakan ketam lain memandangkan kulitnya yang lembut,” katanya.Dzulkarnain berkata, menternak ketam nipah tidak memerlukan kawasan luas untuk membuat kolam, sebaliknya ruang tepi kawasan letak kereta atau di belakang rumah sudah memadai bagi menempatkan tiga kolam ternakan seluas 3 x 1 meter.“Ia pasti menjimatkan dan keselamatan ternakan dapat dikawal, berbanding jika diternak dalam kolam tanah atau batu,” katanya.Katanya, menternak ketam dalam kolam gentian kaca amat ringkas dan sesuai kerana kadar asid, alkali serta ammonia dalam air mudah dikawal.Dalam perkembangan lain, Sama Aqualculture dengan kerjasama Prime Trends menganjurkan seminar dan kursus ternakan ketam nipah kepada yang berminat pada hari Sabtu setiap bulan.“Penyertaan dikenakan bayaran RM200 seorang dan peserta akan diberi penerangan mengenai ternakan ketam nipah, prospek perniagaan dan peluang pasaran.“Pada masa yang sama, kami turut menawarkan kepakaran dan menjual peralatan yang diperlukan bagi menternak ketam kepada bakal penternak.“Selain menjual benih ketam dan makanan, kami juga membeli ketam-ketam dewasa berkenaan dengan harga RM28 sekilogram. Dalam erti kata lain penternak tidak perlu risau akan hasil ternakan mereka kerana kami yang mencari pasarannya,” katanya.
source: Berita Harian
No comments:
Post a Comment