Pemergian ayah kurasakan hanyalah suatu mimpi ngeri yang tidak pernah berlaku.
"Ayah, jangan pergi." Anakmu ini masih belum sempat membalas jasamu. Anakmu ini masih belum sempat mendengar cerita isi hatimu. Anakmu ini masih belum sempat menunaikan impianmu.
Ayah,
Anakmu ini amat bersyukur dikurniakan seorang ayah yang baik. Aku bangga kerana hayatmu dikenang sebagai seorang lelaki yang gagah dan penyayang terhadap ibu. Aku tahu, ayah tidak suka menyusahkan orang lain walaupun di saat ayah hendak menghembuskan nafas terakhir. Aku juga tahu, jauh di sudut hati ayah, ayah terlalu menyayangi dan merindui anak-anakmu. Aku terharu, ayah tidak pernah pilih kasih terhadap anak-anakmu. Aku bangga mempunyai seorang wira seperti ayah.
Ayah,
Kalaulah ayah boleh melihat dan mendengar bisikan hati anakmu ini, anakmu teringin sangat melihat ayah kembali. "Diha nak bawak ayah keluar makan makanan kegemaran ayah, membeli-belah sambil jalan-jalan makan angin. Diha tak sempat, dulu ayah sakit, terlantar atas katil."
Ayah,
Apalah yang ayah sedang buat sekarang?
Diha takkan lupa ayah, pesanan ayah untuk membacakan surah Al-Ikhlas kepada ayah setiap kali selepas solat fardhu.
Kekadang aku sedih mengenangkan umur ayah yang terlalu jauh dengan kami, anak-anaknya. Sewaktu kami kecil, ayah telah meningkat usia, sewaktu kami remaja, ayah telah tua, bila kami sedang belajar di universiti, ayah dah uzur. Dan sewaktu kami baru mula hendak membalas jasamu, ayah telah nazak dan pergi buat selamanya. Namun aku sedar, aku harus redha, itu adalah takdir dari Yang Maha Esa, aku amat bersyukur kerana walaupun sekejap, aku telah dikurniakan seorang ayah yang hebat. Alhamdulillah.
Semoga roh ayah sentiasa dicucuri rahmat olehNya dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.
No comments:
Post a Comment