May 2, 2008

Seramnyer...dia bukan ibu ku!

senja
Ini adalah sebuah kisah seram yang benar-benar terjadi pada diriku sewaktu aku berusia 12 tahun. Sewaktu itu kami sekeluarga belum berpindah di rumah sekarang, kami tinggal di sebuah kampung, tanah milik arwah ayah. Rumah kami besar, ada padang tempat bermain, ada pokok buah-buahan, buaian, bangku, pokok bunga pun banyak ibuku tanam sekeliling rumah.

Pada suatu petang, seperti biasa, rutin kakak dan adikku, mereka gemar menonton kartun. Apa lagi, aku yang kurang berminat pada cerita kartun itu pun membawa diri, mengasingkan diri ke dalam kamar tidur. Selepas solat Asar, dik kerana kepenatan seharian ke kelas tambahan, aku pun mengambil buku-buku rujukan aku sebagai teman sebelum lelap di atas katil yang sangat selesa itu. Tanpa disedari aku terlelap sehingga hampir senja.

Tetiba aku terjaga dari ulitan mimpi, aku dengan sifat semulajadiku sebelum matang, menjadi bebal selepas bangun dari tidur petang itu, Aku bingkas bangun dan mencapai tuala ku untuk mandi. Seluruh rumah semakin gelap, hanya diterangi sinaran matahari senja yang hampir hilang. Namun, aku terus membiarkan keadaan itu, aku masih bebal. Aku sedar tiada sesiapa dalam rumah ketika itu. Biasanya kakak dan adikku akan bermain di luar selepas aktiviti menonton tv pada waktu petang, manakala ibu mungkin di luar juga mengambil kain jemuran dan arwah ayah aku percaya, dia suka duduk di bangku luar sambil mengambil udara nyaman.

Aku berjalan ke dapur dengan tuala kemas diletakkan di bahu. Sekilas terpandang periuk berisi sup ayam di atas dapur. Aku terus mencapai mangkuk dan mengisikannya dengan sup ayam berisi lebih kentang untuk diratah. Slrppp..lazat sekali..!

Dalam aku asyik menikmati sup tersebut, aku nampak ada kelibat ibuku di dapur. Namun, aku teruskan menjamah. Ibuku juga mencedok sup itu ke dalam mangkuk untuk santapannya. Dia lantas datang menghampiriku dan duduk di sebelahku untuk sama-sama meratah. Aku masih lagi dengan bebalku. Sedikit pun aku tidak meliriknya walaupun dia duduk makan betul-betul di sebelahku. "SLRPP...SLRPP...SLRPPP..."...aku dengar dia menghirup.

Diam tak diam, sup dalam mangkuk ku sudah habis. Aku pelik, kenapa ibuku diam sahaja, selalunya dia suka berleter, walaupun tiada hal untuk dileterkan, ibuku pasti mengeluarkan ayat arahan atau pertanyaan ambil berat. "Biarlah"! getus hati kecilku. Aku bingkas bangus ke sinki dapur tanpa menegur dan melihat secara nyata padanya kerana aku masih bebal. Aku terus ke bilik air untuk mandi.

Seperti biasa selepas mandi, solat Maghrib,kami semua adik-beradik suka menonton kartun 'senja' pula. Sebaik habis menonton:
Ibu : Jom, p makan lekas, mak lapaq la...
Aku : Mak bukan dah meratah sup ka tadi?
Ibu : Bila?
Aku : Petang tadi, masa orang meratah sup, mak pun meratah gak kan?
Ibu : Petang tadi? Mana ada, sepetang mak dok kat luaq meraut lidi bawah pokok pelam besaq kat belakang rumah...
Jantungku tiba-tiba berdegup kencang.
Aku : Mak makan sup kan tadi?...(masih cuba menyadapkan hatiku)
Mak janganla macam ni!
Mak : Mana ada, bila pulak mak masuk hirup sup.
Aku : MaaakK!~ (menjerit ketakutan)

Sungguh seram sekali. Semua kami adik-beradik amat takut pada malam itu.
Apa yang aku paling bersyukur, nasib baik aku tidak memandang untuk melihatnya tambahan nasib baik lagi aku tidak menegurnya. Ya ampun...aku tak dapat bayangkan keadaan aku yang sebenarnya amat seram sekali pada waktu itu, dengan suasana yang amat suram dan hanya berseorangan di dalam rumah ketika itu. Bebalanku itu menyelamatkanku dari menjadikan situasi aku bertambah ngeri. Nauzubillah...

Itulah peristiwa seram yang aku masih ingat walaupun ianya telah lama berlaku.

1 comment:

Anonymous said...

nauzubillah...
takoottt!!!!