August 23, 2009

Pergi Tak Kembali

Tanggal 4hb Ogos lalu, aku dan Fitri dikejutkan dengan berita ibu mertua aku telah dimasukkan ke hospital. Kami segera bertolak ke Pulau Pinang pada malam itu juga. Ibu dimasukkan ke hospital setelah mengalami muntah darah. Kanser ibu pecah.

Sebenarnya sudah 2 minggu ibu berada di sana untuk tujuan berubat setelah doktor mengesahkan ibu menghidap kanser seminggu sebelum itu dan rawatan moden seperti kemoterapi tidak lagi sesuai untuk ibu. Ini adalah kali kedua ibu disahkan menghidap kanser selepas kali pertama ibu mengalaminya semasa muda dulu.

Kami sampai di Bukit Mertajam lebih kurang pukul 1.30 pagi. Kami terus ke Hospital Bukit Mertajam di mana ibu ditempatkan di wad ICU. Keadaan ibu kulihat berbeza sekali - sangat lemah. Ibu terpaksa bernafas menggunakan alat bantuan pernafasan, banyak wayar dan tiub dicucuk kan di tubuh ibu. Walaupun terlantar, tapi ibu masih sedar. Begitulah kuatnya semangat ibu. Aku tidak dapat menahan sebak melihat keadaan ibu yang sebegitu. Aku beredar keluar untuk seketika.

Dalam masa itu, doktor datang meminta tandatangan abah untuk kebenaran dia memasukkan darah dan suntikan ubat tidur kepada ibu.

Sejak pukul 4.00 pagi itu, ibu tidak lagi sedar2. Sehinggalah pukul 11.00 pagi keesokan harinya. Doktor dan nurse memanggil kami untuk membacakan Yasin dan mengucap di telinganya. Ibu nazak. Skrin komputer menunjukkan bacaan degupan jantung ibu tidak stabil dan sgt lemah. Kami bergilir2 mengucapkan syahadah di telinga ibu sambil airmata tidak henti2 mengalir.

Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa, ibu kembali stabil selepas beberapa ketika. Bacaan Yasin terus diperdengarkan. Semua sanak-saudara sudah diberitahu. Orang semakin ramai. Kami semua sentiasa di sisi ibu, aku dan Fitri cuma keluar sekejap untuk solat.

Kira-kira pukul 7.15 mlm, ketika hari menjelang Nisfu Syaaban, ibu kembali nazak. Aku masih di sisinya apabila tiba-tiba kakak iparku memberitahu di mulut ibu macam ada darah bercampur kahak. Aku segera menyuruh kakak memanggil nurse untuk memeriksanya. Nurse itu kemudiannya mengarahkan kami semua anak-beranak keluar sebentar untuk memudahkan kerja mereka menyedut kahak ibu.

Ternyata Allah lebih menyayanginya, ibu pergi menghembuskan nafas terakhir sewaktu kami semua berada di luar bilik wad. Sekejap sangat. Seorang nurse keluar memberitahu, aku lihat Fitri rebah kesedihan. Pemergian ibu ditangisi seluruh kaum keluarga dan saudara-mara.

Subhanallah, kesedihan itu turut dapat dirasai oleh cuaca pada hari itu. Hampir sepanjang hari itu, hujan turun membasahi bumi. Sehinggalah selepas selesai upacara pengebumian pada kira-kira pukul 11 pagi keesokan harinya barulah cuaca kembali cerah. Alhamdulillah, begitulah kelebihan ibu. Sesungguhnya kebaikan yang agung itu adalah dari Allah. Semoga roh ibu sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.

5 comments:

eimma's said...

Al fatihah....

ShaSiNChAn said...

salam
ecah doakan mil k dha ditmptkan bersama2 dgn org yg beriman..
sedih aishah bc entry kali nie
mengalir air mata ecah..uhuk uhuk
ecah x pernh rs apa yg k dha n abg fit rs
smg Allah mmnjgkan umur mak, ayah n in law ecah..aminn

Panthers said...

al fatihah utk arwah ngah...mak menakan yang paling cool...

paling aku terasa raya tahun ni tak dapat la aku nak rasa rendang special ngah lagi dah....

aizulhisham said...
This comment has been removed by the author.
aizulhisham said...

Takziah... Didoakan roh Arwah ditempatkan ke dalam golongan orang beriman. It was really a huge loss of a mom's love...